MH370: ‘Tolong akhiri penderitaan kami’

MH370: ‘Tolong akhiri penderitaan kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Ahli keluarga penumpang warga China yang hilang dalam penerbangan Malaysia Airlines, MH370 berkumpul di Beijing kelmarin bagi terus menuntut jawapan daripada pihak berkuasa berhubung tragedi itu.

Selepas 11 tahun kejadian itu berlaku, ke­luarga mangsa terus menuntut penjelasan untuk mengetahui nasib yang menimpa keluarga mereka.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 orang hilang dari radar pada 8 Mac 2014 Ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Kebanyakan penumpang dalam pesawat itu merupakan rakyat China dengan selebihnya dari Malaysia, Indonesia, Australia.

Operasi pencarian besar-besaran udah dilakukan sebelum ini, namun kehilangan pesawat itu masih menjadi misteri hingga kini.

Bulan lalu, ­Malaysia mengumumkan Ocean Infinity akan menyambung semula pencarian pesawat ber­kenaan, namun ahli keluarga penumpang China mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara ber­kenaan.

Mereka turut berkumpul di depan Kedutaan Malaysia di sini, namun keadaan dikawal dengan kehadiran pasukan polis.

Seorang daripada waris mangsa, Cheng Liping berharap China dapat berkomunikasi lebih banyak dengan Malaysia bagi mencari kebenaran.

“Semua orang terus terperangkap dalam pen­deritaan kerana kami masih tidak tahu apa yang berlaku sehingga kini.

“Saya cuma mahu tahu apa yang berlaku pada pesawat itu dan suami yang berada di dalamnya. Tolong akhiri penderitaan kami.

“Jika semua penum­pang di dalam pesawat itu masih ada, kami mahu mereka hidup dengan sihat dan jika tiada, kami mahu kepastian,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya