GAZA: Hamas menyelar kenyataan Menteri Keselamatan Israel yang dilantik semula, Itamar Ben-Gvir yang mendakwa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu telah menerima desakannya untuk menyambung semula perang.
Dalam satu kenyataan, Hamas menegaskan pengakuan itu membuktikan kerajaan berhaluan kanan Israel yang bertanggungjawab menggagalkan perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Tambah Hamas, rejim Israel juga secara tidak langsung mengelak daripada menunaikan komitmennya demi kepentingan politik dalaman.
“Kenyataan-kenyataan ini secara jelas menafikan tuduhan tidak berasas oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Hamas yang cuba dipersalahkan sebagai penghalang perjanjian yang telah ditandatangani,” kata pergerakan itu.
Hamas turut menegaskan perang kali ini yang dicetuskan atas desakan Ben-Gvir menunjukkan kerajaan Zionis telah mengabaikan nasib tawanan mereka sendiri dan tidak lagi mengambil peduli kepulangan mereka kepada keluarga masing-masing.
Sehubungan itu, Hamas menggesa pihak perantara agar menekan kerajaan Netanyahu yang disifatkan sebagai ‘hauskan darah’ supaya bertanggungjawab atas kegagalan perjanjian gencatan senjata serta mendesak Tel Aviv menghentikan serangan dan kembali ke meja rundingan. -AGENSI