RAYKJAVIK: Menteri Kanak-Kanak dan Pendidikan Iceland meletakkan jawatan selepas mengaku mempunyai anak dengan seorang remaja lebih tiga dekad lalu, menurut laporan media Iceland.
Ásthildur Lóa Thórsdóttir mendedahkan, dia menjalin hubungan dengan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ketika usianya 22 tahun menyaksikan mereka mempunyai seorang anak lelaki.
Dia dilaporkan melahirkan anak ketika berusia 23 tahun dan pasangannya berumur 16 tahun.
Thórsdóttir bertemu dengan remaja itu ketika bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah kumpulan keagamaan, menurut penyiar tersebut.
Menurut kod penal Iceland, umur sah bagi hubungan seksual ialah 15 tahun.
Namun, adalah menyalahi undang-undang bagi orang dewasa untuk menjalin hubungan seksual dengan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun sekiranya mereka berada dalam kedudukan mengajar atau mengawasi kanak-kanak tersebut.
Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun.
Lelaki itu memberitahu RUV, dia tidak pernah melihat dirinya sebagai mangsa dalam situasi tersebut, tetapi mengakui bahawa ketika itu dia menghadapi kesukaran dalam hidup dan mencari sokongan daripada kumpulan gereja.
Namun, remaja itu hadir ketika kelahiran anaknya dan pada awalnya dibenarkan berhubung dengan anak tersebut, tetapi hampir semua akses terputus sebelum anaknya mencapai usia setahun.
Bagaimanapun, dia diwajibkan membayar nafkah anak selama 18 tahun.
Bapa muda itu kemudian mendapatkan bantuan daripada Kementerian Kehakiman dan perkhidmatan keluarga gereja untuk bertemu anaknya, tetapi Thórsdóttir enggan memberinya hak lawatan, menurut penyiar awam Iceland.
Tidak lama selepas laporan RUV pada Khamis, Thórsdóttir meletakkan jawatan daripada jawatan menteri, lapor penyiar tersebut.
Beliau bagaimanapun, akan terus mewakili Parti Rakyat sebagai Ahli Parlimen.