JAKARTA: Misi persahabatan dua pendaki warga emas dari Malang, Jawa Timur berakhir dengan tragedi apabila mereka meninggal dunia ketika menawan puncak Gunung Cartenz di Papua Tengah, Indonesia.
Mangsa, Lilie Wijayanti Poegiono dan Elsa Laksono, masing-masing berusia 60 tahun, dikatakan mendaki gunung tertinggi di Indonesia itu bagi memasang plak kenangan untuk rakan mereka, Hanafi Tanoto, yang meninggal dunia di lokasi sama tahun lalu.
Mereka berjaya melaksanakan misi tersebut setelah tiba di puncak, namun malangnya, kedua-duanya turut menghembuskan nafas terakhir di tempat yang sama akibat sindrom akut gunung (AMS)
Hadi Laksono, abang kepada Elsa, berkata keluarganya menerima khabar duka tersebut pada Sabtu melalui panggilan telefon.
“Adik saya tinggal di Jakarta dan tidak menunjukkan minat mendaki gunung ketika muda. Mungkin minat itu timbul selepas dia melanjutkan pelajaran di universiti. Mereka berdua rakan baik yang berkongsi hobi sama. Mendaki sama-sama, meninggal juga sama-sama,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Jalan Patimura, Kota Malang.
Jenazah Elsa akan disemayamkan di Rumah Duka Carolus, Jakarta, manakala Hadi dijadualkan berangkat ke Jakarta pada Isnin.
Menurut maklumat yang diperoleh, Lilie dan Elsa memulakan pendakian pada 26 Februari lalu dari Lapangan Terbang Moses Kilangin, Timika ke Base Camp Yellow Valley Cartenz Pyramid menggunakan helikopter serta disertai oleh dua pendaki lain, Saroni dan Lody Hidayanto.
Pendakian menuju puncak bermula pada Jumaat pada pukul 4 pagi waktu tempatan, membabitkan 20 individu, termasuk lima pemandu, tujuh pendaki warga negara Indonesia (WNI), enam pendaki asing, dan dua wakil dari Taman Nasional Lorentz.
Namun, keadaan bertukar buruk apabila cuaca ekstrem dengan hujan salji, hujan lebat, dan angin kencang melanda pada Sabtu pada pukul 10.30 malam, sehingga menyebabkan lima pendaki mengalami hipotermia.
Pemandu asal Nepal, Dawa Gyalje Sherpa, cuba menyelamatkan Lilie dan Elsa tetapi terpaksa berhenti di Teras 2 kerana keadaan trek yang sukar. Jenazah Elsa dibawa keluar dari gunung menggunakan helikopter Komala Indonesia pada Ahad untuk dihantar ke Jakarta manakala Lilie pula dijadualkan dipindahkan pada Isnin dan dibawa ke Bandung, Jawa Barat.