Mark Carney PM baharu Kanada ganti Justin Trudeau - Utusan Malaysia

Mark Carney PM baharu Kanada ganti Justin Trudeau

MARK CARNEY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Bekas Gabenor Bank Pusat, Mark Carney, memenangi pemilihan kepimpinan Parti Liberal Kanada sekaligus menggantikan Justin Trudeau sebagai Perdana Menteri.

Carney, 59, akan memikul tanggungjawab ini pada saat Kanada terlibat dalam perang perdagangan yang berpotensi membawa kesan buruk dengan sekutu terdekat dan rakan dagangan terbesarnya, Amerika Syarikat (AS).

Minggu lalu, Donald Trump mengumumkan cukai 25 peratus terhadap semua barangan Kanada dengan pengecualian untuk sektor automotif dan tenaga. Tarif ini berisiko mendorong ekonomi Kanada yang rapuh ke arah kemelesetan.

“Amerika bukan Kanada, dan Kanada tidak akan pernah menjadi sebahagian daripada AS,” kata Carney kepada penyokongnya.

Dengan meraih 85.9 pertatud undian, Carney mengatasi bekas Menteri Kewangan Chrystia Freeland, bekas pemimpin kerajaan Karina Gould, dan bekas ahli parlimen Frank Baylis.

Carney yang pernah menjadi Gabenor Bank Kanada dari 2008 hingga 2013 dan Gabenor Bank England dari 2013 hingga 2020 menempuh jalan yang sukar ke puncak kuasa dan akan menjadi perdana menteri kedua dalam sejarah Kanada tanpa kerusi di Dewan Rakyat.

Walaupun tiada peraturan yang melarangnya, konvensyen mencadangkan Carney perlu segera mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam pilihan raya persekutuan.

Beliau juga akan menjadi perdana menteri Liberal pertama dari Kanada Barat, identiti yang berharga di sebuah negara yang terbahagi secara politik mengikut garis geografi.

Sepanjang kempennya, Carney sering menonjolkan dirinya sebagai ‘orang luar’, walaupun mempunyai hubungan lama dengan Parti Liberal, termasuk berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Trudeau.

Kemenangan muktamadnya yang diramalkan oleh kejayaan pengumpulan dana dan sokongan utama daripada beberapa menteri kanan yang mempunyai rangkaian organisasi yang luas, diharap dapat memberikan suntikan semangat kepada Parti Liberal yang sedang memerintah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya