BANGKOK: Seramai lima orang disahkan maut manakala sekurang-kurangnya 27 lagi cedera selepas kren pembinaan bagi projek lebuh raya runtuh berhampiran Rama Road 2 di daerah Chom Thong, Bangkok awal pagi semalam.
Polis Bang Mod menerima laporan mengenai insiden itu pada pukul 1.48 pagi waktu tempatan sebelum mengerahkan pasukan anggota ke lokasi kejadian.
Menurut beberapa laporan, kren pembinaan yang terletak kira-kira 200 meter dari pintu masuk tapak projek runtuh ke struktur lebuh raya sedia ada dengan lebih 20 pekerja ada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku.
Pasukan penyelamat dari Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bangkok dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dengan menggunakan anjing pengesan dan peralatan khas.
Terdapat juga beberapa pekerja terperangkap di atas kren dan mereka berjaya dibawa turun kemudian.
Pada pukul 7 pagi semalam, pasukan penyelamat mengesahkan seramai lima terkorban dan 27 lagi cedera.
Lima mangsa yang terkorban disahkan tiga adalah warga Thailand manakala dua lagi warga asing.
Insiden itu juga menyaksikan beberapa jalan berhampiran ditutup sebagai langkah keselamatan.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian, dan Pihak Berkuasa Lebuhraya Ekspres Thailand (EXAT) akan menilai tahap kerosakan.
Rama Road 2 merupakan jalan utama yang menghubungkan Bangkok dengan wilayah selatan Thailand termasuk destinasi percutian Hua Hin di wilayah Prachuap Khiri Khan.
Kerajaan sebelum ini mengakui kesesakan trafik luar biasa di jalan tersebut boleh menjejaskan sektor pelancongan di negara ini menyaksikan projek pembinaan lebih raya baharu itu dilaksanakan.