BEIJING: Seorang lelaki China maut gara-gara berpura-pura jatuh cinta dengan pengasuh anaknya demi membuat bekas isterinya cemburu dan mahu kembali bersama.
Rancangan lelaki dikenali sebagai Xie itu berakhir tragis apabila dia ditikam pengasuh tersebut yang berang selepas mengetahui perkara sebenar.
Xie yang menjalankan perniagaan makanan berkahwin dengan isterinya He selepas tamat pengajian dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Namun, ketika perniagaan semakin maju, Xie didakwa menjadi angkuh dan sering bertengkar dengan isterinya, menyebabkan mereka bercerai namun lelaki itu mendapat hak penjagaan anak perempuannya yang kemudian dijaga oleh pengasuh dikenali sebagai Li.
Selepas bercerai, Xie masih menyimpan hasrat untuk kembali bersama bekas isterinya, namun, egonya menghalang kerana bimbang status dan kuasanya dalam keluarga akan terjejas.
Lelaki itu kemudian berpura-pura menjalinkan hubungan cinta dengan Li, sengaja mempamer kemesraan bersama wanita itu dalam media sosial dan meminta jirannya menyebarkan gosip kepada He dengan harapan dapat membuat bekas isterinya cemburu.
Melihat helah itu berjaya, Xie melamar Li dan mengatur sesi fotografi perkahwinan namun menggunakan jam pintar anaknya untuk berkongsi lokasi sesi tersebut dengan He bagi memancing kehadiran bekas isterinya itu.
Rancangan tersebut berhasil apabila He mahu kembali ke pangkuan Xie dan dia kemudian memutuskan hubungan cinta dengan Li dan segera memecat wanita itu.
Walaupun Xie menawarkan wang pampasan, Li yang amat kecewa dan marah kerana ditipu mengupah sepupunya yang juga bekas pesalah jenayah untuk menyerang lelaki itu dengan sebatang kayu.
Selepas Xie rebah, Li kemudian menikamnya beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan parah yang meragut nyawa lelaki itu.
Dalam siasatan, Li mendakwa dia hanya ingin memberi pengajaran kepada Xie dan tidak berniat untuk membunuhnya, namun mahkamah mendapati dia bersalah dan dihukum penjara seumur hidup sementara sepupunya dijatuhi hukuman penjara selama 11 tahun.