WASHINGTON: Sebanyak lebih 1,000 botol syampu ditarik balik penjualannya selepas didapati mengandungi bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.
Langkah itu diambil oleh syarikat Henkel yang berpangkalan di Jerman setelah ujian mendapati produk Tec Italy Shampoo untuk rambut kering dan rosak mengandungi bakteria Klebsiella Oxytoca.
Menurut laporan, sebanyak 1,068 unit produk tersebut telah ditarik balik selepas ujian makmal mengesahkan kehadiran bakteria berkenaan, yang secara semula jadi boleh ditemui dalam saluran usus, mulut, dan hidung manusia.
Walaupun bakteria itu tidak berbahaya jika kekal dalam usus, namun ia boleh menyebabkan kadar kematian antara 10 hingga 20 peratus sekiranya memasuki aliran darah atau organ lain.
Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), produk yang terlibat telah dihantar dari sebuah kilang di Mexico kepada pengedar C&R Beauty, Caesar’s Professional Products Inc, dan Vero Beauty Distributors.
Walaupun jenama Tec Italy popular dan dijual di pasar raya utama seperti Walmart, Target, serta Amazon, produk yang terjejas hanya dijual secara langsung kepada salun kecantikan dan sehingga kini, tiada kes penyakit dilaporkan akibat penggunaan produk ini.
FDA mengelaskan penarikan balik ini sebagai Kelas II, iaitu situasi di mana penggunaan produk berkenaan mungkin menyebabkan kesan kesihatan sementara atau boleh dipulihkan secara perubatan, sementara risiko kesan buruk yang serius adalah rendah.
Bakteria Klebsiella oxytoca dianggap tidak berbahaya selagi berada dalam usus namun, jika ia memasuki bahagian lain dalam tubuh seperti aliran darah, ia boleh mencetuskan gejala mirip radang paru-paru, termasuk demam, menggigil, sesak nafas, dan batuk sehingga pesakit boleh mengalami sakit ketika membuang air kecil, sakit di bahagian bawah perut, dan muntah.
Walaupun kebanyakan pesakit boleh pulih dengan antibiotik atau rehat, mereka yang mempunyai sistem imun lemah atau menghidap penyakit kronik berisiko mengalami komplikasi seperti jangkitan pada paru-paru, darah, dan sepsis.
Jangkitan Klebsiella oxytoca adalah jarang berlaku dengan hanya 100 kes direkodkan setiap tahun di Amerika Syarikat namun, kadar kematian akibat jangkitan ini dianggarkan antara 10 hingga 20 peratus. –AGENSI