QUETTA: Kumpulan bersenjata menembak mati lapan orang termasuk empat buruh etnik Punjabi dan empat anggota polis di barat daya Pakistan kelmarin.
Insiden itu berlaku di pekan Mangocher di daerah Kalat di wilayah Balochistan yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.
“Ketika kejadian, kumpulan bersenjata itu menaiki motosikal, menghampiri empat buruh Punjabi berkenaan yang sedang bekerja sebelum melepaskan tembakan,” menurut pegawai pentadbiran, Ali Gul Imrani.
Pegawai polis, Muhammad Asghar mengesahkan insiden tersebut.
Dalam kejadian berasingan, empat anggota polis terbunuh dalam serangan hendap di daerah Nushki di wilayah yang sama.
Baru-baru ini, drama tebusan kereta api penumpang di Balochistan menyaksikan lebih 60 orang terkorban dan Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
Namun, kumpulan berkenaan menafikan penglibatan mereka dalam dua serangan kelmarin.
Pada awal bulan ini, tiga tukang gunting etnik Sindhi ditembak mati di Balochistan manakala pada Februari lepas, kumpulan bersenjata menembak mati tujuh buruh Punjabi selepas menghentikan sebuah bas dinaiki mereka.
Seramai 11 buruh Punjabi juga ditembak mati selepas diculik dari sebuah bas di bandar Naushki pada April tahun lalu dan enam lagi ditembak pada Mei 2024.
Serangan terhadap tenaga buruh yang bukan berasal dari Balochistan dilaporkan semakin meningkat dari semasa ke semasa dengan kumpulan bersenjata menuduh mereka cuba ‘mencuri hasil’ wilayah berkenaan. – AFP