SEOUL: Dua juruterbang yang dituduh tersilap melepaskan bom di kawasan awam minggu lepas dilaporkan gagal mengikuti prosedur wajib untuk memeriksa koordinat sasaran sekurang-kurangnya tiga kali.
Menurut kenyataan Tentera Udara Korea Selatan, kesilapan juruterbang tersebut menjadi punca kejadian yang mengakibatkan 29 orang cedera, termasuk 15 orang awam, di bandar sempadan Pocheon pada Khamis lalu.
Tentera Udara menjelaskan koordinat sasaran telah dimasukkan secara salah sebelum berlepas.
“Juruterbang pesawat pertama sepatutnya memeriksa sasaran sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang proses tugasan, tetapi gagal berbuat demikian,” kata kenyataan itu.
Dua pesawat pejuang KF-16 disalahkan kerana secara tidak sengaja menjatuhkan bom MK-82 di luar kawasan latihan semasa latihan tembakan langsung pertama Korea Selatan-AS tahun ini berkaitan latihan bersama musim bunga tahunan antara kedua-dua sekutu yang bermula pada Isnin lalu.
Sebelum berlepas, juruterbang pesawat pertama berkongsi koordinat dengan juruterbang pesawat kedua, yang secara salah memasukkannya ke dalam sistem perancangan misi bersama (sistem perancangan berkomputer tentera).
Mereka sepatutnya menyemak semula koordinat tersebut, tetapi tidak berbuat demikian dan ini merupakan kesilapan pertama dan kemudian menjadi satu rangkaian kesilapan. Kedua-dua juruterbang terus menyimpan dan memindahkan koordinat yang salah ke dalam kartrij pemindahan data, yang dipasang pada pesawat sebelum berlepas.
Bagaimanapun, kartrij pada pesawat kedua mengalami kerosakan teknikal, menyebabkan juruterbang kedua terpaksa memasukkan semula koordinat tersebut sendiri.
Walaupun juruterbang kedua berjaya membetulkan koordinat dalam proses tersebut, juruterbang pertama gagal mengenal pasti nombor yang salah.
Selepas berlepas, juruterbang pertama menyedari bahawa trajektori penerbangan berbeza dengan yang diambil semasa latihan persediaan, tetapi meneruskan pengeboman untuk memenuhi masa sasaran.
Ketua Staf Tentera Udara, Jeneral Lee Young-su dalam permohonan maaf awam berkata, tentera udara berjanji untuk memperkukuh langkah-langkah pengesahan koordinat sasaran dalam latihan ketenteraan dan mengakui bahawa kejadian itu bukan sahaja disebabkan oleh kesilapan juruterbang, tetapi juga pengurusan dan prosedur pemeriksaan yang tidak mencukupi.