COLOMBO: Pihak berkuasa Sri Lanka giat memburu ketua polis negara ini selepas mahkamah mengarahkan penangkapannya berhubung kematian seorang pegawai dalam satu serbuan.
Deshabandu Tennakoon dilaporkan menghilangkan diri sejak majistret di selatan negara itu mengeluarkan waran tangkap pada Jumaat lalu susulan dakwaan dia mengarahkan serbuan rampasan dadah pada 31 Disember 2023.
“Kami pergi ke rumahnya untuk melakukan tangkapan, namun dia sudah melarikan diri, yang tinggal hanya pengawalnya,” kata seorang pegawai kanan polis kepada AFP.
Pegawai polis itu memberitahu, mahkamah juga mengenakan larangan perjalanan ke luar negara terhadap Tennakoon, 53, bagi menghalangnya daripada meninggalkan Sri Lanka.
Tennakoon didakwa mengarahkan satu unit polis dari Colombo untuk menggeledah sebuah hotel di Weligama, sebuah bandar peranginan di selatan ibu kota bagi merampas sejumlah dadah.
Ketika serbuan, pasukan polis di Weligama yang tidak mengetahui tentang operasi rahsia itu bertembung dengan unit tersebut sehingga mencetuskan pertempuran senjata yang mengakibatkan seorang pegawai terbunuh dan seorang lagi cedera parah.
Operasi itu juga tidak menemukan dadah yang didakwa disembunyikan di hotel berkenaan.
Tennakoon mencetuskan kontroversi apabila dilantik sebagai ketua polis pada November 2023 tetapi pelantikannya dicabar di Mahkamah Agung menyaksikan perkhidmatannya digantung pada Julai 2024.
Sebelum itu, Tennakoon didakwa menyeksa seorang suspek dalam tahanan dan mahkamah mengarahkanbbya membayar ganti rugi kepada mangsa.