SOLO: Seorang pemilik kereta Honda HR-V berdepan pengalaman pahit apabila kenderaannya tiba-tiba mengalami kerosakan selepas mengisi minyak di Stesen Minyak Pucangsawit, Solo, Jawa Tengah akibat petrol jenis Pertamax yang tercemar dengan air.
Kejadian itu mencetuskan perhatian ramai selepas insiden tersebut dikongsi dalam media sosial dan tular.
Menurut laporan Tribun Solo, insiden itu pertama kali didedahkan oleh pemilik kenderaan, John Arkha Budi, menerusi media sosial pada Jumaat lepas di mana dalam hantaran tersebut, dia berkongsi gambar kereta HR-V putihnya terpaksa ditunda ke sebuah bengkel di Jalan Ir. Soekarno, Solo Baru.
Isteri pemilik kenderaan, Eka Kartika, 36, memaklumkan kejadian tersebut berlaku ketika dia dan suaminya dalam perjalanan ke Yogyakarta atas urusan kerja pada Khamis sebelum mereka berhenti di Stesen Minyak Pucangsawit untuk mengisi minyak jenis Pertamax bernilai Rp 300,000 (RM90).
Bagaimanapun, tidak lama selepas meninggalkan stesen minyak, kenderaan mereka mula menunjukkan tanda-tanda kerosakan.
“Baru sampai di Solo Baru, enjin kereta terasa semput, tidak boleh memecut, dan tiba-tiba mati di tengah jalan,” kata Eka.
Panik dengan situasi itu, mereka segera menghubungi pekerja teknikal Honda Solo Baru untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan mengesahkan bahan api di dalam tangki telah bercampur dengan air.
Suami Eka kembali ke stesen minyak berkenaan dengan membawa sampel petrol yang tercemar sebagai bukti dan menuntut pampasan sebelum akhirnya pihak stesen minyak bersetuju membayar ganti rugi meliputi kos pembaikan kenderaan sebanyak Rp 723,000 (RM217) dan bayaran balik kos petrol sebanyak Rp 300,000 (RM90), menjadikan jumlah keseluruhan Rp 1 juta (RM300).
Sementara itu, Pengurus Komunikasi, Perhubungan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PT Pertamina Patra Niaga Wilayah Jawa Tengah, Taufiq Kurniawan mengesahkan kejadian tersebut.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati pencemaran bahan api berpunca daripada rembesan air hujan yang memasuki tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.