Kereta elektrik BYD hanya perlu dicaj lima minit, mampu bergerak 400km - Utusan Malaysia

Kereta elektrik BYD hanya perlu dicaj lima minit, mampu bergerak 400km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD, memperkenalkan sistem pengecasan baharu yang dikatakan mampu mengecas kenderaan sepantas tempoh mengisi petrol, sekali gus mencetuskan saingan baharu dalam industri kenderaan elektrik global.

Pengumuman itu menyaksikan saham BYD yang tersenarai di Hong Kong melonjak 4.1 peratus pada Selasa, mencecah paras tertinggi sebanyak HK$408.80.

Pelabur yakin inovasi tersebut akan mengukuhkan kedudukan BYD sebagai salah satu pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia.

Dua model baharu BYD akan dilengkapi teknologi pengecasan dengan kuasa puncak 1,000 kilowatt (kW), membolehkan kenderaan berkenaan menempuh jarak 400 kilometer dalam tempoh hanya lima minit pengecasan.

Perkara itu diumumkan oleh pengasas BYD, Wang Chuanfu, dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat syarikat di Shenzhen pada Isnin.

Pada tahun lalu, BYD muncul sebagai pengeluar kenderaan elektrik kedua terbesar dunia, sedikit di belakang Tesla namun, tidak seperti kenderaan elektrik yang hanya menjual kenderaan elektrik penuh, BYD turut menawarkan ratusan ribu model hibrid yang menggabungkan bateri dengan enjin petrol.

Dengan kelajuan pengecasan 1,000 kW atau 1 megawatt (MW), teknologi BYD adalah dua kali lebih pantas berbanding pengecas super Tesla yang hanya mencapai sehingga 500 kW dan pakar industri melihat teknologi pengecasan pantas sebagai faktor utama dalam meningkatkan penerimaan EV di pasaran.

Pengumuman ini hadir ketika Tesla berdepan tekanan hebat, bukan sahaja akibat persaingan sengit dari pengeluar China seperti BYD, tetapi juga kemerosotan sahamnya susulan langkah pemilik syarikat, Elon Musk, yang dikecam oleh orang ramai kerana dikaitkan dengan ideologi politik kanan dan pengurangan kakitangan persekutuan Amerika Syarikat.

Mengikuti jejak langkah Tesla, BYD turut mengumumkan rancangan untuk membina rangkaian 4,000 stesen pengecasan berkelajuan tinggi di seluruh China bagi menyokong teknologi pengecasan baharunya walaubagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan tempoh pelaksanaan mahupun jumlah pelaburan yang akan diperuntukkan bagi projek berkenaan.

Teknologi baharu itu akan diperkenalkan pada dua model EV premium BYD, iaitu sedan Han L dan SUV Tang L, dengan harga bermula dari 270,000 yuan (RM175,000) sekaligus dijangka memperhebatkan lagi persaingan dalam industri EV, khususnya dalam usaha menarik lebih ramai pengguna ke arah penggunaan kenderaan mesra alam. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya