NEW JERSEY: Satu kepingan keropok Flamin’ Hot Cheeto yang dikatakan menyerupai watak Charizard daripada francais anime dan permainan video Pokémon dilelong pada harga AS$87,840 (RM410,000).
Menurut rumah lelongan Goldin, kepingan keropok yang digelar “Cheetozard” itu dibuka untuk bidaan pada harga permulaan AS$250 (RM1,170) pada Februari lalu sebelum dijual kepada pembida tidak didedahkan identitinya dengan tawaran AS$72,000 (RM336,000), ditambah premium pembeli menjadikan jumlah keseluruhan AS$87,840.
Cheeto sepanjang tiga inci tersebut dilekatkan pada kad Pokémon khas bertulis “Cheetozard” dan disimpan dalam kotak lutsinar bagi memastikan bentuknya terpelihara.
Goldin memaklumkan, snek itu ditemui dan disimpan oleh syarikat memorabilia sukan 1st & Goal Collectibles antara tahun 2018 hingga 2022, sebelum gambarnya tular di media sosial pada tahun 2024.
“Goldin pakar dalam koleksi jarang dan unik, dan Cheetozard adalah salah satu daripadanya. Apa yang menjadikan item ini menarik adalah gabungan dua komuniti peminat iaitu Pokémon dan Cheetos,” kata Dave Amerman, Ketua Konsainan di Goldin.
Sementara itu, pengguna media sosial membanjiri ruangan komen di Instagram Goldin, dengan ramai mempersoalkan mengapa seseorang sanggup membayar begitu banyak wang untuk seketul Cheeto, manakala yang lain kagum dengan bentuk uniknya.
Ini bukan kali pertama Cheeto berbentuk unik dijual pada harga tinggi sebelum ini pada tahun 2017, sebuah Cheeto yang menyerupai Harambe, gorila terkenal, berjaya dilelong hampir AS$100,000 (RM466,000) di laman eBay.