BANGKOK: Laporan awal bedah siasat terhadap mayat Kolonel Polis, Thitisan “Joe Ferrari” Utthanaphon mendapati punca kematiannya akibat bunuh diri dengan menggantung diri menggunakan tuala kecil, menurut Institut Sains Forensik Pusat (CIFS) di bawah Kementerian Kehakiman Thailand.
Timbalan Pengarah CIFS, Dr Worawee Waiyawuth berkata, hasil pemeriksaan menunjukkan Thitisan menggunakan tuala kecil sebagai jerutan untuk mengambil nyawanya sendiri.
“Setakat ini, kami memberi tumpuan kepada bunuh diri sebagai punca utama kematian. Kesan jerutan di leher sepadan dengan saiz tuala kecil yang dipercayai digunakan untuk menggantung diri,” katanya dalam sidang media semalam.
Ketika ditanya mengenai kecederaan lain, beliau mengesahkan terdapat lebam pada bahagian belakang dan pinggul mangsa, namun ia merupakan kecederaan lama.
Bagaimanapun, ujian makmal lanjut terhadap sampel tisu masih diperlukan untuk mengesahkan perkara tersebut.
Mengulas mengenai kesan darah yang ditemui oleh ahli keluarga Thitisan di lantai sel di Penjara Pusat Klong Prem, Dr Worawee menjelaskan, kesan darah itu dipercayai keluar daripada tubuh selepas kematian, sesuatu yang biasa berlaku.
Sementara itu, peguam Thitisan, Weerasak Nakhin berkata, pihak keluarga akan menghantar mayat untuk bedah siasat kedua di Universiti Chulalongkorn bagi mendapatkan pandangan kedua.
Dalam perkembangan berkaitan, Komander Bahagian 2 Biro Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Polis Jessada Suaysom memaklumkan, pihaknya meneliti bukti lanjut termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Thitisan sebelum ini dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah menyeksa dan membunuh seorang suspek dadah pada tahun 2021 sebelum dia ditemui mati tergantung di pintu selnya di Penjara Pusat Klong Prem, Bangkok pada malam Jumaat lalu sekitar 8.30 malam waktu tempatan pada hari kejadian.
Bagaimanapun, pihak keluarga menolak dakwaan Thitisan membunuh diri dan mendakwa dia pernah dianiaya oleh pegawai penjara di mana ibunya telah membuat aduan rasmi pada 26 Februari lalu meminta siasatan dilakukan selepas anaknya didakwa dimarahi dan diserang oleh pengawal penjara kerana melaporkan seorang banduan yang melanggar peraturan menonton video lucah di telefon bimbit.