RABAT: Buat kali keempat dalam sejarah, pihak berkuasa Maghribi membuat keputusan membatalkan ibadah korban sempena Aidiladha susulan krisis kemarau berpanjangan yang menjejaskan ekonomi negara.
Keputusan itu diumumkan sendiri oleh Raja Mohammed VI dengan menegaskan keadaan semasa menuntut tindakan luar biasa bagi mengurangkan kesan buruk terhadap rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Dalam arahan terkininya, Raja Mohammed VI menekankan ibadah korban merupakan sunah yang dituntut dalam Islam, tetapi hanya jika ia mampu dilaksanakan tanpa menjejas kesejahteraan rakyat.
“Melaksanakan ibadah ini dalam keadaan sukar seperti sekarang akan membawa kesan buruk kepada sebahagian besar rakyat kita, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmed Taoufiq.
Keputusan Maghribi membatalkan ibadah korban bulan sesuatu yang baharu, sebaliknya kali pertama langkah sama diambil ialah pada 1963, ketika negara itu menghadapi konflik ‘Perang Pasir’ dengan Algeria yang menyebabkan kesan ekonomi besar terhadap rakyat.
Kemudian, pada 1981 dan 1996, Maghribi sekali lagi membatalkan ibadah korban akibat kemarau teruk yang menjejaskan ternakan dan bekalan makanan negara.
Menurut laporan rasmi Kementerian Pertanian Maghribi, negara itu kini mengalami tahun ketujuh kemarau secara berturut-turut, dengan limpahan hujan 53 peratus lebih rendah berbanding purata 30 tahun terakhir.
Krisis itu menyebabkan jumlah ternakan susut 38 peratus sejak 2016, memberi kesan besar kepada bekalan daging tempatan.
Menteri Pertanian, Ahmed Bouari, dalam satu sidang media mendedahkan bahawa jumlah lembu yang disembelih di Maghribi kini merosot daripada 230,000 ekor kepada hanya 150,000 ekor.
Sementara itu, bekalan air di empangan negara hanya tinggal 4.6 bilion meter padu dengan kadar pengisian 28 peratus.
Di sebalik keputusan membatalkan ibadah korban, rakyat Maghribi masih berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.