SKOPJE: Macedonia Utara mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari selepas kebakaran di sebuah kelab malam yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 59 kematian dan puluhan cedera.
Menteri Dalam Negeri Panche Toshkovski berkata, pemeriksaan awal mendapati kelab di bandar timur Kočani tersebut beroperasi secara haram dan susulan itu pihak berkuasa sudah menahan 15 individu untuk siasatan.
“Syarikat ini tidak mempunyai lesen sah untuk beroperasi. Lesen ini juga seperti kebanyakan perkara lain di Macedonia yang dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Lebih daripada 20 orang disiasat ketika ini dengan 15 daripadanya ditahan polis, manakala selebihnya sedang dirawat di hospital akibat kecederaan dalam insiden tersebut.
Kebanyakan mangsa yang terkorban dalam kebakaran di kelab malam Pulse semasa konsert hip-hop itu adalah golongan belia dengan lebih 155 orang cedera malah ramai diantaranya dalam keadaan kritikal. Sebahagian daripada mangsa yang dibawa ke pusat perubatan berusia seawal 14 tahun.
Bangunan tersebut sebelum ini berfungsi sebagai gudang permaidani di Kočani, sebuah bandar kira-kira 97 kilometer ke timur ibu negara, Skopje.
Perdana Menteri Hristijan Mickoski berkata, nyawa ramai anak muda yang terkorban dalam kebakaran itu ‘tidak dapat diganti’ dan beliau memberi jaminan pihak berkuasa akan melakukan apa yang diperlukan dan menentukan punca tragedi tersebut.
Kebakaran itu dipercayai dicetuskan oleh penggunaan peralatan piroteknik kesan khas yang berlaku pada kira-kira pukul 2.35 pagi waktu tempatan.