Kapal persiaran mewah terima amaran selepas memasuki kawasan lanun - Utusan Malaysia

Kapal persiaran mewah terima amaran selepas memasuki kawasan lanun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Penumpang kapal persiaran mewah Queen Anne menerima amaran keselamatan ketika kapal itu memasuki perairan yang berisiko tinggi dengan ancaman lanun dalam pelayaran sulungnya, minggu ini.

Kapal milik syarikat Cunard itu sedang belayar melalui perairan Asia Tenggara dalam perjalanan selama 111 malam dan dilaporkan memasuki kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘sarang jenayah, lanun dan keganasan’ oleh Pusat Antarabangsa bagi Penanggulangan Keganasan (ICCT).

Kapten kapal, Inger Klein, menerusi pengumuman rasmi berkata, kawasan tersebut dikenali sebagai zon ancaman lanun, sambil merujuk kepada perairan sekitar Malaysia, Indonesia dan Filipina yang mempunyai sejarah panjang aktiviti jenayah maritim.

Kali terakhir kes penculikan di kawasan itu dilaporkan adalah pada tahun 2020.

Rakaman video di platform TikTok menunjukkan penumpang menerima arahan keselamatan sebaik kapal memasuki perairan Sulu dan Celebes.

Mereka diminta memadamkan lampu kabin, menutup langsir serta pintu bilik, selain dilarang berada di dek terbuka atau berhampiran tingkap ketika kapal melintasi Lautan Pasifik menuju ke Filipina.

Lampu kapal juga dimalapkan untuk mengurangkan risiko dikesan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sementara hos air bertekanan tinggi disediakan di dek promenade bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan.

“Saya ingin menegaskan keselamatan kapal serta semua penumpang dan kru adalah keutamaan saya,” katanya sambil memberi jaminan langkah pencegahan telah diatur dengan rapi dan kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku ke atas kapal sebesar Queen Anne adalah sangat rendah.

Queen Anne, yang mampu membawa lebih 3,350 penumpang, memulakan pelayaran dari Hamburg, Jerman, pada 7 Januari lalu, dengan persinggahan di beberapa negara termasuk England, Amerika Syarikat, Mexico, New Zealand, China dan Australia sebelum dijadualkan kembali ke Hamburg pada 29 April.

Selepas Filipina, Queen Anne akan meneruskan pelayaran ke beberapa destinasi lain termasuk Vietnam, Afrika Selatan, Singapura, Malaysia dan England sebelum kembali ke Hamburg. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya