SULAWESI TENGGARA: Kisah seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menunaikan ibadah umrah yang ditaja oleh ibunya bukan beragama Islam mencuri perhatian ramai selepas video kepergiannya ke Tanah Suci menjadi tular di media sosial.
Kanak-kanak tersebut, Khenzy Azzickra Al Furqan, 11, dari Baubau, Sulawesi Tenggara berlepas ke Makkah pada 24 Februari lalu menggunakan agensi pelancongan PT Arminareka Perdana.
Menurut pendamping umrah PT Arminareka Perdana, Nur Aini, Khenzy merupakan satu-satunya individu beragama Islam dalam keluarganya.
“Khenzy satu-satunya Islam dalam keluarganya. Ibu, nenek dan datuknya adalah bukan Islam. Malah, datuknya adalah pengasas gereja di Buton Pasar Wajo, Baubau,” katanya.
Menurut Khenzy, hasratnya untuk ke Tanah Suci tercetus selepas sering menonton liputan Makkah di televisyen dan telefon pintar.
“Saya mahu umrah kerana sering lihat di TV dan telefon,” katanya dalam satu wawancara yang turut tular di media sosial.
Meskipun ibu dan keluarganya bukan beragama Islam, namun mereka tetap menyokong penuh hasrat Khenzy untuk menunaikan ibadah umrah sehinggakan beliau sanggup membiayai kos umrah anaknya sebanyak Rp35.800.000 (RM10,500) termasuk segala keperluan perjalanan.
Momen mengharukan itu dirakam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, sejam sebelum rombongan berlepas ke Jeddah di mana video tersebut kemudiannya dimuat naik di media sosial pada 26 Februari lalu dan menjadi tular dengan ribuan tontonan.
Dalam video berkenaan, ibu Khenzy kelihatan sebak melepaskan anaknya dengan pesan agar menjaga kesihatan dan fokus kepada ibadah.
Kisah ini dianggap sebagai simbol toleransi beragama yang tinggi dan pengorbanan seorang ibu untuk memenuhi impian anaknya, meskipun berbeza kepercayaan. -AGENSI