RIAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut dibaham buaya semasa bermain di sungai bersama rakan-rakannya.
Mangsa, Fikri Qurniawansyah menaiki rakit buatan sendiri bersama rakan-rakannya di wilayah Riau ketika reptilia ganas itu menyerang secara tiba-tiba.
Difahamkan, mangsa mencelupkan tangannya ke dalam air sebelum buaya itu menggigit lengan dan menariknya dengan ganas.
Rakan-rakannya yang panik berusaha memegang tangan mangsa untuk menyelamatkannya, namun cengkaman buaya itu terlalu kuat selain menyebabkan rakit tersebut terbalik.
Rakan-rakannya yang ketakutan lari ke kawasan kampung untuk meminta bantuan sebelum pasukan penyelamat segera melancarkan operasi pencarian.
Pasukan penyelamat menemukan buaya yang dipercayai membaham Fikri dan membunuhnya, namun, setelah membelah perut reptilia itu, mayat kanak-kanak terbabit tidak ditemui di dalamnya.
Mayat Fikri hanya dijumpai pada Selasa oleh seorang petani yang melihat mayatnya terapung di sungai sebelum menghubungi pihak berkuasa, dan mayat tersebut kemudian disahkan sebagai Fikri.
Ketua Polis tempatan, Iptu Kodam Firman Sidabutar, berkata, mangsa ditemukan dengan lebam di badannya dan laporan awal menunjukkan dia diserang buaya semasa bermain di tebing sungai.
“Walaupun tiada luka koyakan ditemui, lebam-lebam pada badan mangsa menunjukkan dia mungkin diserang buaya sebelum lemas,” katanya.
Mayat Fikri diserahkan kepada keluarganya dan polis mengingatkan penduduk supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di kawasan sungai.