GAZA: Jurucakap Hamas, Abdel-Latif al-Qanoua dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan bandar Jabalia di Gaza Utara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Al-Qanoua telah syahid apabila tentera rejim Zionis menyerang khemahnya di kawasan Jabalia al-Balad,” menurut laporan televisyen Al-Aqsa yang bekerjasama dengan Hamas.
Sejak minggu lalu, Israel menyambung serangannya ke Gaza menyaksikan sekurang-kurangnya menurut Kementerian Kesihatan Gaza seramai 830 rakyat Palestin terkorban dan 1,787 yang lain cedera dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sebanyak 124,000 rakyat Palestin terpaksa dipindahkan semula selepas Israel menyambung serangan dan mengeluarkan arahan pemindahan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak Oktober 2023, lebih 50,200 rakyat Palestin terkorban manakala lebih 113,700 yang lain cedera dalam serangan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan.