MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak pemimpin Russia, Vladimir Putin supaya menyelamatkan tentera Ukraine yang diusir keluar dari wilayah Kursk.
Desakan itu dibuat ketika pembantunya, Steve Witkoff mengadakan pertemuan dengan Putin semalam.
Trump juga menyifatkan pertemuan itu sebagai ‘sangat baik dan produktif’.
“Ada peluang sangat baik bahawa perang yang mengerikan ini akhirnya boleh berakhir,” kata Trump, merujuk kepada cadangan gencatan senjata oleh AS yang sudah diterima Ukraine dan sedang dipertimbangkan oleh Russia.
Tambah beliau, tentera Russia sudah ‘mengepung sepenuhnya’ ribuan askar Ukraine di Kursk yang berada ‘dalam posisi yang sangat buruk dan mudah terdedah’.
“Saya sudah meminta dengan tegas kepada Presiden Putin supaya nyawa mereka diselamatkan. Ini akan menjadi ‘penyembelihan mengerikan’, yang tidak pernah terjadi sejak Perang Dunia II. Semoga Tuhan memberkati mereka semua,” katanya.
Penganalisis ketenteraan berkata, pasukan Ukraine di Kursk hampir terputus hubungan selepas kehilangan kedudukan yang menjadi satu-satunya tawanan mereka di wilayah Russia.
Putin menuduh askar-askar Ukraine melakukan jenayah terhadap orang awam di Kursk, namun i sesuatu yang dinafikan oleh Kyiv.
Bagaimanapun Presiden Russia itu berkata, beliau memahami seruan Trump dengan mengambil kira pertimbangan kemanusiaan.
“Dalam hal ini, saya ingin menekankan sekiranya (askar-askar Ukraine) meletakkan senjata dan menyerah, mereka akan dijamin kehidupan dan dilayan dengan baik mengikut undang-undang antarabangsa serta undang-undang Persekutuan Russia,” katanya.
Naib Pengerusi Majlis Keselamatan Russia, yang juga bekas Presiden Dmitry Medvedev dalam media sosial berkata, sekiranya askar-askar Ukraine ‘enggan meletakkan senjata, mereka semua akan ‘dihancurkan secara sistematik dan tanpa belas kasihan’.
Namun, tentera Kyiv berkata, tiada ancaman terhadap askar mereka, malah menafikan dikepung dan sebaliknya berada di kedudukan yang lebih baik.