MANILA: Sebuah jet pejuang Tentera Udara Filipina yang membawa dua juruterbang dilaporkan hilang semasa menjalankan misi tempur bagi menyokong pasukan darat yang memerangi pemberontak di wilayah selatan negara tersebut.
Jet FA-50 itu terputus hubungan dengan pesawat tentera udara lain sekitar tengah malam Isnin sebelum tiba di kawasan sasaran.
Bagaimanapun, pesawat lain berjaya kembali dengan selamat ke pangkalan udara di wilayah tengah Cebu, menurut kenyataan Tentera Udara Filipina tanpa mendedahkan butiran lanjut atas faktor keselamatan.
Seorang pegawai tentera Filipina memberitahu The Associated Press insiden itu berlaku di sebuah wilayah selatan Filipina, di mana operasi antipemberontakan terhadap gerila komunis sedang dijalankan.
“Kami berharap dapat menemui pesawat itu secepat mungkin, dan kami memohon anda bersama-sama kami dalam doa pada waktu kritikal ini,” kata jurucakap Tentera Udara, Kolonel Ma. Consuelo Castillo.
Setakat ini, belum jelas sama ada baki pesawat FA-50 akan digantung operasi susulan kejadian tersebut.
Filipina memperoleh 12 jet pejuang pelbagai guna FA-50 bermula pada 2015 daripada Korea Aerospace Industries Ltd. di Korea Selatan dengan kos 18.9 bilion peso (RM1.8 bilion), antara perolehan terbesar di bawah program pemodenan tentera yang sering tergendala akibat kekurangan dana.