BERLIN: Sebahagian daripada undang-undang kanabis untuk tujuan rekreasi di Jerman mungkin dikaji semula atau dibatalkan sepenuhnya susulan kemenangan blok konservatif Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) dan Kesatuan Sosial Kristian (CSU) pilihan raya minggu lalu.
Pakatan berhaluan tengah-kanan yang terdiri daripada CDU dan CSU yang hanya beroperasi di Bavaria dijangka menerajui pentadbiran baharu di Berlin dan mereka sudah berkempen untuk membatalkan undang-undang yang mengawalselia penjualan dan penggunaan kanabis.
“Kami akan melakukan apa yang mampu bagi menghentikan kesan negatif pembenaran kanabis, memerangi jenayah berkaitan dadah, dan mengukuhkan perlindungan terhadap kanak-kanak bawah umur,” kata pakar dasar undang-undang CDU, Günter Krings, dalam kenyataan pada Ahad lalu.
Undang-undang kanabis kerajaan campuran sebelumnya adalah ‘kesilapan berbahaya’ dan mesti dibatalkan,” kata jurucakap parlimen CDU/CSU bagi isu dasar kesihatan, Tino Sorge.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat meramalkan bentuk undang-undang baharu kerana ia bergantung pada kerajaan yang sedang dibentuk.
Selepas bertahun-tahun membincangkan kelebihan dan risiko pembenaran kanabis, Parlimen Jerman tahun lalu meluluskan undang-undang yang membenarkan individu dewasa memiliki sehingga 25 gram kanabis untuk kegunaan peribadi di tempat awam.
Selain itu, penanaman tiga pokok kanabis hidup dibenarkan, dengan pemilikan sehingga 50 gram kanabis untuk kegunaan peribadi juga dibenarkan di rumah.
Bagaimanapun, merokok kanabis dilarang di sekolah, kemudahan sukan, dan dalam lingkungan 100 meter dari tempat awam lain.
Undang-undang yang berkuat kuasa pada 1 April 2024 itu juga membenarkan penubuhan kumpulan penanam bukan komersial di mana sehingga 500 ahli dewasa yang menetap di Jerman boleh menanam kanabis secara kolektif dan membekalkannya antara satu sama lain untuk kegunaan peribadi dengan had maksimum 50 gram setiap ahli sebulan.
Sorge merujuk kepada hasil kajian baharu dari Kanada yang menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kes psikosis selepas pembenaran kanabis di negara itu. Beliau menegaskan bahawa keputusan ini tidak boleh diabaikan.