SAMARINDA: Sekumpulan jemaah yang menunaikan solat terawih di Masjid Baitul Arif Jalan KH Damanhuri, Samarinda, panik apabila seorang lelaki tiba-tiba memasuki masjid membawa senjata tajam.
Kejadian pada malam Isnin itu melibatkan penduduk berhampiran masjid tersebut dikenali sebagai Sofiansyah yang didakwa terganggu oleh bunyi bising dari masjid.
Ketua Polis Sungai Pinang, AKP Aksarudin Adam, mendedahkan lelaki berusia 39 tahun itu pernah terlibat dalam insiden serupa tahun lalu.
“Apabila mendengar bunyi kuat atau bising dari masjid mencetuskan kemarahannya. Insiden ini bermula dengan pergaduhan bersama keluarga yang kemudian merebak ke masjid,” katanya pada Rabu.
Seorang jemaah, Rudi,33, mengakui terkejut dengan kejadian tersebut.
“Saya tengah duduk ketika tiba-tiba mendengar kekecohan. Kemudian, saya nampak seorang lelaki membawa senjata tajam. Saya terus bangun dan lari ke luar,” katanya.
Sementara itu, Ridwan,35, yang berada di saf tengah jemaah berkata, suasana di dalam masjid huru hara kerana mereka takut Sofiansyah mungkin menyerang namun dia bersyukur kerana lelaki itu dapat dikawal.
Beberapa jemaah berjaya merampas senjata tajam daripada Sofiansyah dan menahannya sehingga polis tiba di tempat kejadian.
Sementara itu, polis giat menyiasat motif suspek dengan lebih lanjut termasuk kemungkinan wujudnya masalah kesihatan mental.