TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menegaskan negara haram itu akan terus menduduki wilayah Syria di luar sempadan utara Israel untuk tempoh yang tidak ditetapkan demi memastikan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Angkatan Pertahanan Israel (IDF) bersedia untuk berada di Syria selama-lamanya. Kami akan mengekalkan kawasan keselamatan di Hermon dan memastikan zon keselamatan di selatan Syria bebas daripada senjata dan ancaman,” kata Katz ketika melawat puncak strategik Gunung Hermon, hari ini.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember lalu, tentera Israel menguasai zon penampan demilitarisasi seluas 400 kilometer persegi di wilayah Syria.
Zon tersebut yang terletak di antara Syria dan Bukit Golan yang dikuasai Israel, diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas perang Yom Kippur pada 1973 dan sejak itu, kira-kira 1,100 anggota tentera PBB telah mengawasi kawasan berkenaan.
Rejim Basyar tumbang di tangan gabungan pemberontak yang diketuai Hayat Tahrir al-Sham pada Disember lalu yang mempunyai kaitan dengan organisasi pelampau termasuk al-Qaeda dan Daesh, namun Presiden Syria, Ahmad Al-Sharaa menegaskan beliau sudah tidak terikat lagi dengan kumpulan tersebut serta berikrar mewujudkan kerajaan yang mewakili semua pihak serta menjamin toleransi beragama.
Sementara itu, Katz menegaskan kehadiran tentera di Gunung Hermon adalah perlu bagi melindungi komuniti Israel di utara dan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Pencerobohan Israel ke wilayah Syria pada Disember lalu mendapat kecaman antarabangsa yang meluas, dengan pengkritik menuduh Israel mengambil kesempatan daripada kejatuhan rejim Assad untuk merampas tanah.
Bulan lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan hasratnya untuk memastikan demilitarisasi sepenuhnya di selatan Syria.
Israel masih menguasai Bukit Golan yang ditawan dari Syria semasa perang enam hari pada 1967 dan kemudian mengisytiharkan pengilhakan wilayah itu, namun tindakan tersebut tidak diiktiraf oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.