Imam Besar Al-Azhar desak undang-undang tangani Islamofobia disegerakan - Utusan Malaysia

Imam Besar Al-Azhar desak undang-undang tangani Islamofobia disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Imam Besar Al-Azhar di Mesir memberi amaran mengenai peningkatan Islamofobia yang semakin membimbangkan dan menyeru undang-undang digubal untuk menanganinya.

Menurut kenyataan dari Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayeb menyampaikan mesejnya melalui wakil tetap Mesir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Osama Abdel Khalek, semasa ucapan di Perhimpunan Agung PBB sempena Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia, pada Ahad.

Ahmed, yang juga Pengerusi Majlis Ulama Muslim, menekankan penetapan hari antarabangsa untuk memerangi Islamofobia adalah puncak usaha terpuji yang dipimpin oleh negara-negara Islam di PBB.

Beliau menggambarkan Islamofobia sebagai fenomena tidak rasional dan tidak logik yang telah menjadi ancaman sebenar kepada keamanan global.

“Perkataan ‘Islam’ berasal dari akar yang sama dengan ‘salam (keamanan)’ dalam bahasa Arab, mencerminkan nilai-nilai teras agama ini iaitu rahmat, kasih sayang, hidup bersama, toleransi, dan persaudaraan antara semua manusia, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, bahasa, atau etnik,” katanya.

Imam Besar itu menegaskan Islamofobia hanyalah hasil kejahilan mengenai hakikat sebenar agama yang agung dan bertoleransi ini selain usaha untuk memutarbelitkan prinsip yang berasaskan keamanan dan hidup bersama.

Ahmed menyifatkan kebangkitan sentimen anti-Muslim berpunca dari kempen media yang berterusan dan retorik golongan ekstrem kanan yang menggambarkan Islam sebagai agama keganasan dan ekstremisme, satu pembohongan terbesar dalam sejarah kontemporari.

Beliau juga mengkritik eksploitasi tindakan keganasan oleh kumpulan-kumpulan yang tidak mewakili Islam.

Bagi menangani isu ini, Ahmed menyeru definisi Islamofobia yang diiktiraf antarabangsa digubal, merangkumi terminologi khusus dan amalan yang dikemas kini secara berkala bagi menunjukkan hasutan terhadap ketakutan, kebencian, atau keganasan terhadap Islam dan umat Islam.

Beliau juga menyeru agar pangkalan data komprehensif dan terkini diwujudkan untuk mendokumenkan jenayah dan diskriminasi kaum terhadap Muslim, sambil memantau undang-undang dan dasar yang sama ada memburukkan atau mengurangkan fenomena ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya