Ikan paling hodoh di dunia, Blobfish dinobatkan ikon ikan New Zealand - Utusan Malaysia

Ikan paling hodoh di dunia, Blobfish dinobatkan ikon ikan New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Pernah digelar sebagai haiwan paling hodoh di dunia, ikan blobfish kini mencatat sejarah baharu apabila dinobatkan sebagai Ikan Terbaik Tahun 2025 di New Zealand.

Ikan unik berkenaan yang mempunyai nama saintifiknya, iaitu Psychrolutes marcidus menghuni perairan dalam bertekanan tinggi di sekitar New Zealand dan Australia.

Tidak seperti kebanyakan spesies ikan lain, blobfish tidak mempunyai pundi renang, rangka penuh, otot mahupun sisik sebaliknya, tubuhnya terdiri daripada tisu lembut dengan ketumpatan lebih rendah daripada air, membolehkannya terapung di dasar laut.

Menurut jurucakap Mountains to Sea Conservation Trust, Konrad Kurta, ikan blobfish mampu hidup sehingga 130 tahun, namun pertumbuhannya sangat perlahan.

“Ikan ini tidak bergerak aktif. Ia hanya menunggu mangsa menghampiri dan terus menyedutnya ke dalam mulut,” katanya.

Selain itu, spesies ini juga dikenali sebagai ibu bapa yang berdedikasi, dengan betina mampu bertelur sehingga 100,000 biji dalam satu sarang dan akan menjaganya sehingga menetas.

Ikan blobfish mula terkenal lebih sedekad lalu selepas sekeping gambar spesies itu yang jarang dilihat berjaya dirakam oleh seorang kru kapal penyelidikan New Zealand dan rupanya berbentuk aneh dan ‘merajuk’ menjadikannya tular sebagai bahan jenaka dalam budaya internet.

Bentuk ikan ini sebenarnya berubah mengikut tekanan air kerana di habitat asalnya, ia kelihatan seperti ikan biasa, tetapi apabila dikeluarkan ke permukaan, ia kelihatan seakan eksperimen saintifik yang gagal akibat perubahan tekanan mendadak, kata Kurta.

Pertandingan Ikan Terbaik Tahun Ini anjuran Mountains to Sea Conservation Trust mula diperkenalkan pada 2020 bagi meningkatkan kesedaran mengenai spesies akuatik negara itu dan tahun ini menyaksikan penyertaan tertinggi dengan 5,583 undian, berbanding hanya 1,021 tahun lalu.

Blobfish meraih kemenangan dengan 1,286 undian, mengalahkan ikan orange roughy dengan kelebihan 300 undi, meskipun pesaingnya itu mendapat sokongan kuat daripada Greenpeace, Forest & Bird serta Environmental Law Initiative.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya