CAMBRIDGE: Universiti Harvard akan menawarkan pengajian sarjana muda secara percuma kepada pelajar dari keluarga yang berpendapatan di bawah AS$200,000 (RM889,000) setahun, bermula musim gugur September ini.
Langkah ini dijangka memberi impak besar kepada lebih ramai pelajar berpotensi daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk mengejar impian mereka di institusi ternama itu.
Bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan AS$100,000 (RM444,438) dan ke bawah setahun, Harvard akan menanggung sepenuhnya kos pengajian, termasuk penginapan, insurans kesihatan serta kos perjalanan antara kampus dan rumah.
Tahun ini, yuran pengajian sarjana muda di Harvard College mencecah lebih AS$56,000 (RM248,882) manakala jumlah kos keseluruhan pembelajaran berjumlah hampir AS$83,000 (RM368,869), menurut laman web bantuan kewangan institusi itu.
Menurut institusi itu, pengumuman tersebut adalah kesinambungan daripada program Inisiatif Bantuan Kewangan Harvard yang dilancarkan pada 2004 bagi menjadikan pendidikan lebih mampu milik untuk pelajar dari pelbagai latar belakang ekonomi.
Sejak inisiatif ini bermula, had pendapatan kelayakan telah dinaikkan beberapa kali dan kini pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah AS$85,000 (RM377,767) sudah pun menikmati pengajian percuma di Harvard.
“Memberi peluang kepada lebih ramai individu untuk belajar di Harvard akan membuka ruang kepada pelbagai latar belakang, pengalaman, dan perspektif yang memperkayakan pertumbuhan intelektual dan peribadi semua pelajar kami.
“Pada masa ini, lebih 55 peratus pelajar sarjana muda di Harvard menerima bantuan kewangan, dengan purata sumbangan keluarga hanya sekitar AS$15,700 (RM69,780) sepanjang tahun akademik 2023 hingga 2024,” kata Presiden Harvard, Alan M. Garber. – AGENSI