SAN DIEGO: Ketika harga telur melambung tinggi, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) melaporkan peningkatan cubaan menyeludup telur dari Mexico ke negara ini.
Pejabat Lapangan CBP San Diego melaporkan pada Khamis lalu bahawa penyelupan telur meningkat sebanyak 158 peratus sejak tahun fiskal 2024 bermula.
Jurucakap CBP memberitahu CNN, agensi itu mendapati jumlah telur yang disita di pintu masuk meningkat sebanyak 29 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun fiskal sebelumnya (Oktober 2023 – Februari 2024).
Harga telur melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah disebabkan oleh wabak selesema burung (avian flu) yang menyerang ayam penelur di AS sejak 2022 dengan 166 juta burung terjejas akibat wabak maut itu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Adalah penting untuk memaklumkan orang ramai bagi melindungi industri pertanian kita dan terus memudahkan perdagangan serta perjalanan yang sah,” kata Pengarah Operasi Lapangan CBP, Sidney Aki.
Pengarah Operasi Lapangan CBP di Laredo, Texas, turut memuat naik video di X minggu ini untuk mengingatkan orang ramai agar tidak mengimport telur.
“Pejabat Lapangan Laredo bersama CBP ingin mengingatkan orang ramai bahawa mengimport telur segar, ayam mentah, atau burung hidup adalah dilarang,” tegasnya.
Pelancong diwajibkan mengisytiharkan semua produk pertanian kepada pegawai CBP atau pakar pertanian, atau mereka boleh dikenakan denda sehingga $10,000 (RM44,572).
Sementara itu, Setiausaha Pertanian Brooke Rollins mengumumkan rancangan untuk melabur AS$1 bilion (RM4.45 bilion) dalam strategi mengawal harga telur yang melambung pada Rabu lalu.
Namun, beliau mengakui langkah ini tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya memaklumkan pasaran telur hanya akan stabil dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.