PARIS: Hampir 60 peratus daripada keseluruhan penduduk dewasa dan 75 peratus kanak-kanak di dunia dijangka mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2050, menurut kajian baharu berskala besar yang diterbitkan hari ini.
Kajian terbitan jurnal perubatan The Lancet yang menggunakan data daripada 204 negara itu menggambarkan masalah membimbangkan mengenai apa yang disifatkan sebagai salah satu cabaran kesihatan terbesar abad ini.
Ketua penyelidik, Emmanuela Gakidou, dari Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) berkata gejala global yang belum pernah disaksikan bagi masalah berat badan berlebihan atau obesiti adalah satu tragedi besar serta kegagalan sosial yang luar biasa.
Kajian itu mendapati jumlah individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obes di seluruh dunia meningkat daripada 929 juta pada 1990 kepada 2.6 bilion pada 2021.
Tanpa perubahan ketara, penyelidik menganggarkan bahawa dalam tempoh 15 tahun akan datang, seramai 3.8 bilion orang dewasa iaitu bersamaan kira-kira 60 peratus daripada penduduk dewasa global akan mengalami masalah ini menjelang 2050.
Penyelidik memberi amaran sistem kesihatan dunia akan berdepan tekanan yang sangat besar dengan sekitar satu perempat daripada individu obes ketika itu dijangka berusia lebih 65 tahun.
Mereka turut meramalkan terdapat peningkatan sebanyak 121 peratus kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.
Menjelang 2050, satu pertiga daripada golongan muda yang mengalami obesiti akan tinggal di dua rantau utama, Afrika Utara dan Timur Tengah serta Amerika Latin dan Caribbean.
Kajian itu turut mendedahkan lebih separuh daripada jumlah orang dewasa yang mengalami berat badan berlebihan atau obes di dunia kini tinggal di hanya lapan negara iaitu China, India, AS, Brazil, Russia, Mexico, Indonesia dan Mesir.
Kajian terbabit adalah berasaskan statistik Global Burden of Disease dilakukan IHME, yang menghimpunkan ribuan penyelidik dari serata dunia. – AFP