GAZA: Sayap bersenjata Hamas akan tetap komited terhadap gencatan senjata rapuh dengan Israel, selepas berdepan ancaman daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Trump memberi amaran kepada rakyat Gaza bahawa mereka akan mati jika tebusan yang ditahan di wilayah itu tidak dibebaskan.
Fasa pertama gencatan senjata enam minggu berakhir hujung minggu lalu dan rundingan mengenai masa depan perjanjian itu masih menemui jalan buntu.
“Walaupun musuh cuba mengelak, berbohong dan menipu, kami tetap memilih dan akan terus memilih untuk mematuhi perjanjian ini demi menyelamatkan nyawa rakyat kami,” kata jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, Abu Obaida dalam satu kenyataan video.
Jurucakap Hamas, Hazem Qasim berkata, ancaman Trump akan menggalakkan Israel untuk mengabaikan perjanjian tersebut, yang sebahagian besarnya berjaya menghentikan perang selama lebih 15 bulan di Gaza.
“Ancaman ini merumitkan lagi usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata yang lebih panjang dan menggalakkan pendudukan Israel untuk tidak mematuhi syarat perjanjian,” kata Qasim.
Ancaman Trump dibuat selepas pentadbirannya mendedahkan bahawa AS telah mengadakan perbincangan langsung yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan Hamas mengenai tebusan warga AS di Gaza.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa Israel telah dirujuk mengenai rundingan itu dan memakluman sudah menyuarakan pendapat tentang perbincangan tersebut.
Rundingan langsung AS-Hamas pertama kali dilaporkan oleh Axios, yang mendakwa, utusan tebusan AS, Adam Boehler bertemu dengan Hamas di Qatar untuk berbincang mengenai tebusan warga Amerika serta kemungkinan gencatan senjata jangka panjang. – AFP