SEOUL: Dua juruterbang pesawat tempur Tentera Udara Korea Selatan didakwa hari ini selepas siasatan mendapati kesilapan mereka menyebabkan pengeboman secara tidak sengaja di sebuah perkampungan minggu lalu, menurut Kementerian Pertahanan negara itu.
Pada Khamis lalu, dua pesawat tempur KF-16 menggugurkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40 kilometer di utara Seoul, mencederakan 38 orang termasuk 24 orang awam.
“Pasukan Penyiasatan Jenayah mengesahkan bahawa kesilapan juruterbang dalam memasukkan koordinat sasaran menjadi punca utama kejadian,” lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian.
Dua juruterbang yang didakwa hari ini dikenakan pertuduhan kecuaian profesional sehingga menyebabkan kecederaan.
Dalam siasatan awal yang diumumkan pada Isnin, Tentera Udara memaklumkan bahawa pegawai berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang untuk menyedari kesilapan mereka selepas memasukkan koordinat sasaran yang salah sebelum berlepas.
Tentera Udara turut mengaitkan insiden itu atas kelemahan dalam pengurusan dan prosedur pemeriksaan, serta menggugurkan dua komander unit kerana gagal memberi arahan yang jelas kepada anggota bawahan mereka.