BEIRUT: Israel melancarkan serangan baharu ke Lubnan sejak kelmarin sebagai tindak balas terhadap serangan roket dari kawasan sempadan.
Menurut Kementerian Pertahanan Israel, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, mengarahkan serangan gelombang kedua terhadap puluhan sasaran Hezbollah di Lubnan, yang terbesar sejak gencatan senjata pada 27 November tahun lalu.
“Serangan itu adalah tindak balas terhadap tembakan roket ke arah Israel dan disusuli siri pertama serangan yang dilakukan pagi semalam terhadap selatan Lubnan,” menurut kementerian itu.
Bagaimanapun, Hezbollah menafikan sebarang pembabitan dalam serangan terhadap Israel.
Agensi berita rasmi Lubnan melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan menjadi antara lima orang yang terbunuh dalam serangan Israel di bandar selatan Touline dengan tiga lagi maut dalam serangan Israel di bandar Tyre dengan beberapa kecederaan dilaporkan.
Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Tyre, Bilal Kachmar, berkata dua orang terbunuh dan dua cedera apabila serangan Israel menyasarkan sebuah pangsapuri di sebuah bangunan kediaman di kejiranan Al-Raml, sebuah bandar pantai utama yang menjadi sasaran buat kali pertama sejak gencatan senjata.
Sumber keselamatan memberitahu AFP, seorang pegawai Hezbollah juga menjadi sasaran dalam serangan Tyre, tanpa mengesahkan sama ada dia terbunuh atau tidak.
Tentera Israel berkata, enam roket dengan tiga daripadanya dipintas, dilepaskan dari Lubnan ke utara Israel pada Sabtu, mencetuskan siren serangan udara.
Hezbollah menafikannya dan mendakwa tuduhan Israel sebagai dalih meneruskan serangan.