GAZA: Kumpulan pergerakan Fatah yang dipimpin Mahmoud Abbas menggesa Hamas untuk melepaskan kuasa demi menjaga kewujudan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Jurucakap gerakan itu, Monther al-Hayek, berkata Hamas mesti menunjukkan belas kasihan kepada Gaza dan semua lapisan masyarakatnya.
Beliau menggesa Hamas supaya berundur daripada mentadbir dan mengiktiraf sepenuhnya pertempuran akan membawa kepada pengakhiran kewujudan rakyat Palestin jika ia kekal berkuasa di Gaza.
Hamas merampas kuasa di Gaza pada 2007 daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah, dan percubaan susulan untuk perdamaian gagal.
Wilayah itu musnah akibat serangan Israel bagi membalas dendam terhadap serangan Hamas dan pejuang Palestin lain terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Hamas sebelum ini berulang kali berkata ia bersedia untuk melepaskan kuasa di Gaza sebaik sahaja perang berakhir tetapi secara mutlak tidak memberi jaminan akan meletakkan senjata.
Jurucakap Hamas, Abdul Latif al-Qanou dalam satu kenyataan, berkata pihaknya bersedia menerima sebarang perjanjian berhubung pentadbiran Gaza (pasca perang), dan tidak berminat untuk menyertainya.
“Apa yang penting bagi kami ialah konsensus nasional,” katanya sambil mengingatkan bahawa Hamas menyokong cadangan Mesir untuk jawatankuasa bebas profesional dan teknokrat untuk menguruskan Gaza selepas perang serta menyelia pembinaan semula.
Mahmoud pula berkata, jawatankuasa itu mesti melaporkan kepada PA yang berpangkalan di Ramallah, yang menurutnya adalah satu-satunya entiti sah untuk mentadbir Gaza, tetapi kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolaknya.