Enam maut kapal selam pelancong tenggelam di Mesir - Utusan Malaysia

Enam maut kapal selam pelancong tenggelam di Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Enam individu, termasuk dua kanak-kanak terkorban selepas sebuah kapal selam pelancong yang membawa puluhan pelancong Rusia karam di perairan Laut Merah, berhampiran sebuah pusat peranginan utama, semalam.

Menurut laporan media Mesir, kejadian yang berlaku di Hurghada sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan mengorbankan enam nyawa, manakala 39 individu diselamatkan, sembilan daripadanya mengalami kecederaan.

Kedutaan Rusia di bandar peranginan sebelum ini memaklumkan, kapal selam terbabit membawa seramai 45 pelancong, termasuk kanak-kanak, dalam satu lawatan dasar laut bagi menyaksikan terumbu karang sebelum ia karam kira-kira satu kilometer dari pesisir pantai.

“Berdasarkan maklumat awal, kebanyakan penumpang diselamatkan dan dibawa ke hotel serta hospital berhampiran,” menurut kenyataan kedutaan Rusia yang turut memaklumkan pihaknya telah menghantar wakil ke lokasi kejadian.

Sementara itu, agensi berita Rusia, Ria Novosti yang memetik sumber perkhidmatan kecemasan Mesir melaporkan, mangsa yang terkorban terdiri daripada lima warga asing dan seorang rakyat tempatan.

Pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut dan siasatan giat dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Hurghada, yang terletak kira-kira 460 kilometer tenggara Kaherah, merupakan destinasi pelancongan utama di Mesir dengan lapangan terbangnya menerima lebih sembilan juta penumpang tahun lalu dan ketika insiden tersebut berlaku, keadaan cuaca di kawasan itu dilaporkan cerah dengan angin yang agak kuat tetapi jarak penglihatan di dalam air berada pada tahap optimum.

Bagaimanapun, bandar itu juga turut menyaksikan beberapa insiden kemalangan maut sebelum ini dan pada November lalu, sebuah bot selam terbalik di perairan Marsa Alam, selatan Hurghada, mengorbankan empat nyawa, manakala tujuh lagi hilang.

Jun tahun lalu, seramai 24 pelancong Perancis terselamat selepas bot mereka karam dalam kejadian serupa, manakala tiga pelancong Britain maut apabila kebakaran memusnahkan kapal layar yang mereka naiki. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya