‘Duterte kelihatan mengantuk dan asyik menutup mata’

‘Duterte kelihatan mengantuk dan asyik menutup mata’

RODRIGO Duterte gagal menghadiri perbicaraan pertama ICC secara fizikal kerana didakwa mempunyai masalah kesihatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte gagal hadir secara fizikal pada sesi pendengaran awal di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda semalam kerana mengalami masalah kesihatan.

Duterte, 79, menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang didakwa oleh ICC dan beliau mendengar prosiding itu melalui pautan video, yang bertujuan memaklumkannya mengenai jenayah kemanusiaan yang didakwa dilakukan serta haknya sebagai seorang tertuduh.

Bekas pemimpin yang berpakaian sut biru serta tali leher itu juga kedengaran lemah sewaktu bercakap secara ringkas bagi mengesahkan nama dan tarikh lahirnya.

Hakim yang mempengerusikan kes itu, Iulia Motoc, membenarkannya mengikuti prosiding tanpa kehadiran fizikal kerana perjalanan jauh ke The Hague.

Namun, peguamnya Duterte, Salvador Medialdea, memberitahu mahkamah anak guamnya itu ‘diculik dari negaranya’.

“Beliau dibawa secara paksa ke The Hague. Dari segi undang-undang, ini adalah pemindahan luar biasa. Bagi mereka yang kurang memahami undang-undang, ini adalah penculikan secara terang-terangan,” kata Medialdea.

Peguam itu juga menyatakan, Duterte mengalami ‘masalah kesihatan yang melemahkan’.

Sepanjang prosiding, Duterte kelihatan mengantuk dan kerap menutup mata untuk tempoh yang lama.

Namun, Motoc menyatakan doktor mahkamah berpendapat beliau dalam keadaan mental yang sepenuhnya sedar dan sihat bagi menjalani perbicaraan.

Hakim itu turut menetapkan tarikh 23 September bagai perbicaraan seterusnya, iaitu sesi pendengaran bagi mengesahkan pertuduhan.

Duterte dituduh melakukan jenayah kemanusiaan dalam bentuk pembunuhan menerusi kempen terhadap pengguna dan pengedar dadah, yang menurut kumpulan hak asasi sudah menyebabkan puluhan ribuan kematian.

Dalam permohonan pendakwa untuk menangkapnya, mereka mendakwa jenayah Duterte adalah ‘sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik yang disasarkan terhadap kelompok tertentu di Filipina’.

Dalam permohonan penangkapan itu, pendakwa turut memetik beberapa kenyataan Duterte semasa beliau berkempen untuk jawatan presiden.

Beliau dilaporkan berkata, ‘jumlah suspek jenayah yang dibunuh akan menjadi 100,000. Saya akan bunuh kamu semua dan ikan di Teluk Manila akan menjadi gemuk kerana di sanalah saya akan campakkan kamu’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya