WASHINGTON: Misi pertukaran kru di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kali ini menjadi tumpuan apabila ia membuka jalan untuk membawa pulang dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) yang terkandas selama lebih sembilan bulan.
Misi NASA-SpaceX Crew-10 dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, semalam pada pukul 7:48 malam waktu tempatan menuju ke ISS.
Namun, perhatian utama tertumpu kepada Butch Wilmore dan Suni Williams, dua angkasawan NASA yang terkandas di ISS sejak Jun lalu selepas kapal angkasa Boeing Starliner mereka mengalami masalah sistem pendorongan dan didapati tidak selamat untuk perjalanan pulang.
Wilmore dan Williams pada asalnya dijadualkan berada di ISS selama lapan hari tetapi kekal di stesen itu selepas ketibaan kru Crew-9 pada September lalu menerusi kapal angkasa SpaceX Dragon.
Kapal tersebut membawa hanya dua orang berbanding empat seperti biasa bagi memberi ruang kepada Wilmore dan Williams serta kru-9 hanya boleh pulang ke bumi selepas Crew-10 tiba di ISS.
“Kami datang bersedia untuk tinggal lebih lama walaupun rancangan asal hanya untuk tempoh singkat.
“Inilah peranan program penerbangan angkasa lepas negara kita, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dijangka.” kata Wilmore dalam sidang media baru-baru ini.
Crew-10 dijangka berlabuh di ISS awal pagi Khamis, diikuti penyerahan tugas ringkas sebelum Crew-9 pulang ke bumi pada 16 Mac, bergantung kepada keadaan cuaca, dengan pendaratan di lautan berdekatan pantai Florida.
Selain Wilmore dan Williams, kru yang akan pulang termasuk angkasawan NASA, Nick Hague, dan angkasawan Rusia, Aleksandr Gorbunov.
Kelewatan membawa pulang Wilmore dan Williams turut mencetuskan kontroversi politik di Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden AS, Donald Trump dan penasihat rapatnya, Elon Musk, menuduh pentadbiran bekas presiden Joe Biden mengabaikan nasib kedua-dua angkasawan tersebut.