WASHINGTON: Dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun 2024 akhirnya kembali ke bumi petang semalam..
Juruterbang ujian Starliner, Sunita Williams dan Barry “Butch” Wilmore terkandas selama lebih sembilan bulan selepas kegagalan kapsul Starliner milik Boeing sekaligus menghalang misi asal mereka yang sepatutnya hanya berlangsung selama seminggu.
Sebuah kapsul SpaceX Dragon yang membawa empat astronaut Williams dan Wilmore mendarat di Teluk Mexico, di luar pesisir Tallahassee, pada pukul 9.57 malam (waktu tempatan) atau kira-kira 5.57 pagi waktu Malaysia selepas perjalanan selama 17 jam.
Kapsul itu diperlahankan dari kelajuan 17,000 mph (27,359 km/j) ketika memasuki atmosfera Bumi dan muncul di bawah langit Florida sebelum meluncur turun menggunakan empat payung terjun ke dalam laut yang tenang.
“Betapa indahnya perjalanan ini. Saya nampak kapsul penuh dengan senyuman kegembiraan,” kata Nicholas Hague, angkasawan ketiga dari AS yang berada di dalam kapsul tersebut.
Williams dan Wilmore tiba di ISS pada 6 Jun tahun lalu bagi menilai kemampuan pelabuhan dan operasi Starliner semasa penerbangan berawak pertamanya dan sepatutnya pulang ke bumi tidak lebih dari 10 hari kemudian.
Namun, beberapa masalah teknikal dan kebimbangan keselamatan menyebabkan NASA dan Boeing menghantar kapsul tersebut kembali ke bumi tanpa Williams dan Wilmore pada September.
Kedua-duanya terpaksa tinggal lebih lama dan dijadikan sebagai ahli kru di stesen angkasa, menggantikan dua angkasawan lain yang masih berada di Bumi dan dipindahkan ke misi-misi akan datang.
Kapal angkasa Dragon berpisah dari stesen angkasa pada pukul 1.05 pagi (waktu tempatan) Isnin membawa Williams, Wilmore, Hague dan kosmonaut Rusia Aleksandr Gorbunov.