WASHINGTON: Satu laporan terbaharu mendapati produk keluaran Coca-Cola dijangka menyebabkan sebanyak 603 juta kilogram (kg) sisa plastik dibuang ke dalam lautan dan sumber air dunia setiap tahun menjelang 2030.
Laporan yang didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Oceana pada Rabu menyatakan jumlah plastik berkenaan cukup untuk memenuhi perut 18 juta ekor paus.
Laporan tersebut diterbitkan di sebalik kebimbangan yang semakin meningkat terhadap risiko kesihatan akibat penyebaran mikroplastik, yang dikaitkan oleh para saintis dengan penyakit seperti kanser, ketidaksuburan, dan sakit jantung.
“Coca-Cola ialah pengeluar dan penjual minuman terbesar di dunia. Oleh itu, kesan plastik yang mereka hasilkan ke atas lautan sangat besar,” kata Matt Littlejohn, Ketua Kempen Oceana yang menumpukan kepada pencemaran korporat.
Kajian Oceana juga menganggarkan penggunaan plastik tahunan Coca-Cola akan melebihi 4.13 bilion kg menjelang 2030 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 603 juta kg dijangka berakhir di lautan, bersamaan dengan hampir 220 bilion botol plastik bersaiz 500 mililiter.
Bagi Oceana, penyelesaian paling berkesan bagi mengurangkan pencemaran ini adalah dengan mengembalikan penggunaan pembungkusan boleh guna semula, sama ada dalam bentuk botol kaca yang boleh digunakan sehingga 50 kali atau bekas plastik PET tebal yang direka untuk 25 kali kegunaan.
Pada 2022, Coca-Cola pernah mengakui pembungkusan boleh guna semula adalah antara kaedah paling berkesan untuk mengurangkan sisa plastik dan berjanji mencapai 25 peratus pembungkusan guna semula menjelang 2030 namun, janji tersebut digugurkan secara senyap dalam pelan kelestarian baharu syarikat itu yang dikeluarkan pada Disember lalu.
Sebaliknya, strategi syarikat kini lebih tertumpu kepada penggunaan bahan kitar semula dalam pembungkusan serta meningkatkan kadar pengumpulan sisa, walaupun pakar alam sekitar berpandangan kitar semula bukan penyelesaian sebenar.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Coca-Cola menegaskan syarikat itu terus melabur dalam pilihan pembungkusan guna semula dan komited untuk memperluaskannya sebagai sebahagian daripada strategi berasaskan kehendak pengguna.
Namun, pencinta alam sekitar tetap skeptikal terhadap kesungguhan syarikat tersebut dalam menangani isu pencemaran plastik secara menyeluruh. – AGENSI