WASHINGTON: Mahkamah Agung Carolina Selatan telah menolak rayuan terakhir lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh, Brad Sigmon, sekaligus membuka jalan untuk pelaksanaan hukuman mati melalui skuad tembak pada Jumaat ini.
Peguam Sigmon cuba menangguhkan hukuman matinya untuk mendapatkan perbicaraan yang lebih lengkap termasuk maklumat terperinci tentang ubat yang digunakan Carolina Selatan dalam hukuman suntikan maut.
Sigmon mendakwa kekurangan maklumat ini memaksanya memilih untuk ditembak hingga mati.
Negeri itu juga menjalankan hukuman mati menerusi kerusi elektrik, tetapi Sigmon menyatakan beliau tidak mahu menderita akibat ‘dibakar hidup-hidup oleh elektrik’.
Peguam Sigmon turut berhujah bahawa peguam ketika perbicaraan asal pada 2002 tidak mengemukakan bukti yang mencukupi tentang masalah mental yang dialaminya sekali gus gagal menyelamatkan lelaki itu selepas mengaku bersalah.
Sigmon, 67 tahun, telah memukul ibu bapa bekas kekasihnya hingga mati dengan bat besbol di rumah mereka di Greenville County.
Dia merancang untuk menculik bekas kekasihnya, menghabiskan hujung minggu yang romantis bersama, kemudian membunuhnya dan dirinya sendiri. Namun, bekas kekasihnya berjaya melarikan diri.
“Jika saya tidak boleh memiliki dia, saya tidak akan membenarkan orang lain memilikinya. Dan saya tahu saya tidak boleh memilikinya,” kata Sigmon dalam pengakuan yang ditulis oleh seorang detektif selepas penangkapannya.
Sigmon akan diikat pada kerusi pada pukul 6 petang Jumaat ini di bilik hukuman di Institut Koreksional Broad River, Columbia sebelum skuad penembak menjalankan hukuman dengan melepaskan tembakan tepat ke jantungnya dari jarak 4.6 meter.
Sigmon akan menjadi banduan pertama yang dihukum mati oleh skuad tembak AS dalam tempoh 15 tahun.