BANGKOK: Penyokong keamanan menggesa pentadbiran Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra segera membentuk jawatankuasa bagi memulakan pusingan baharu rundingan damai dengan kumpulan pemisah Islam, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).
Pejuang hak asasi manusia dan pengasas Kumpulan Duay Jai, Anchana Heemmina berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan menubuhkan panel baharu bagi mengawasi rundingan damai di Selatan Thailand.
Beliau berkata demikian dalam forum yang menghimpunkan penyokong keamanan Islam dan Buddha, pejuang hak asasi manusia serta pekerja media untuk berkongsi perspektif mengenai keamanan di wilayah itu.
Selatan Thailand merangkumi tiga wilayah sempadan paling selatan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.
Anchana berkata, rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah yang diketuai BRN masih diperlukan dan kerajaan perlu meneruskan dasar berunding demi keamanan.
“Sekiranya kerajaan Thailand menangguhkan pembentukan panel rundingan damai, saya percaya banyak lagi serangan ganas akan dilakukan terhadap orang awam.
“Semuanya adalah mudah. Dan tidak mustahil kitaran keganasan baharu akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.
Kitaran pertama keganasan berlaku pada 4 Januari 2004, apabila 413 senjata api dicuri oleh pihak tidak dikenali dari Batalion Pembangunan Ke-4 Kem Tentera Pileng, yang terletak di Narathiwat.
Empat askar terbunuh dalam rompakan senjata api selama 20 minit itu.
Kitaran keganasan itu menyebabkan ketidakstabilan di wilayah sempada selatan selama lebih 20 tahun.
Anchana berkata, keganasan tersebut menjejaskan mata pencarian penduduk, isi rumah dan masyarakat setempat.
“Insiden ganas ini merosakkan pelaburan dan menghalang pertumbuhan ekonomi serta pembangunan serantau lain.
“Tiada pelabur baharu yang berani datang untuk mencari peluang pelaburan di kawasan tersebut,” katanya. – BANGKOK POST