LONDON: Seorang akauntan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula wangnya selepas mendapati unit kondominium mewah yang dibelinya dengan harga 1.5 juta pound (RM8.8 juta) tidak menepati spesifikasi yang dijanjikan, termasuk ketiadaan tab mandi dalam satu daripada bilik air.
Mi Suk Park, 54, membayar deposit sebanyak 381,000 pound (RM2.2 juta) bagi sebuah unit dua bilik tidur dan tempat letak kereta di Menara Aykon London One, sebuah bangunan 50 tingkat di Nine Elms yang terkenal dengan rekaan dalaman hasil kerjasama pemaju dengan rumah fesyen Versace, sehingga mendapat jolokan “Versace Tower”.
Menurutnya, dia telah membuat keputusan besar untuk membeli unit berkenaan selepas melihat risalah dan pelan lantai yang menjanjikan “kemewahan terbaik” serta menjadikan ia sebagai kediaman utama dia dan suaminya sehingga bersara namun, apabila dia pertama kali meninjau secara fizikal, ia didapati berbeza secara ketara daripada apa yang dinyatakan dalam pelan asal.
Tidak berpuas hati dengan keadaan unit tersebut, Park enggan berpindah masuk dan kini menuntut pampasan lebih 700,000 pound (RM4 juta) bagi mendapatkan semula deposit yang dibayar, bayaran sewa lima tahun serta kerugian lain yang dialaminya.
Antara aduannya ialah satu bilik tidur lebih kecil daripada jangkaan, satu daripada bilik air tiada tab mandi, kehadiran kabinet utiliti yang mengganggu konsep ruang tamu terbuka, dan kelewatan dua tahun dalam penyerahan unit.
Park juga mendakwa dia terpaksa menjual rumahnya lebih awal pada 2019 untuk memenuhi tarikh siap pada 2020, namun unit itu hanya siap sepenuhnya pada 2022, menyebabkan dia mengalami kerugian besar.
Sementara itu, pemaju, Nine Elms Property Ltd, sebuah syarikat berdaftar di Jersey yang berpangkalan di Dubai, menafikan dakwaan Park dan bertindak menyaman balas terhadapnya kerana gagal melengkapkan pembelian, sekali gus mendakwa depositnya telah dilucutkan.
Peguam pemaju berhujah risalah yang ditunjukkan kepada Park sebelum beliau membuat bayaran deposit hanyalah untuk tujuan ilustrasi dan menyatakan dengan jelas pelan tersebut adalah “susun atur tipikal” namun, beliau menolak hujah itu dengan menyatakan beliau tidak menyedari istilah itu sebagai sesuatu yang penting ketika melihat pelan tersebut.
Hakim Alan Johns yang mendengar kes itu di Mahkamah Daerah London Tengah diberitahu pemaju telah melanggar perjanjian kerana unit yang dibina tidak menepati spesifikasi asal yang dipersetujui pada 6 November 2015.
Mahkamah kini sedang meneliti sama ada pemaju mempunyai hak untuk mengubah struktur dan susun atur unit berkenaan serta sama ada perubahan tersebut merupakan pelanggaran kontrak yang ketara. —AGENSI