THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yakin bahawa tiada kes yang perlu dijawab di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menurut anak perempuannya, Sara Duterte pada Ahad.
Sara yang juga Naib Presiden Filipina, memberitahu media bapanya kini dalam keadaan kesihatan yang lebih baik setelah kelihatan letih dan keliru pada pendengaran pertamanya di ICC.
“Dia sangat yakin dengan hujah undang-undang yang kukuh dan apa yang mereka (pendakwaan) lakukan adalah salah dan tiada kes pun sebenarnya,” katanya kepada pemberita.
Bekas presiden berusia 79 tahun itu dituduh melakukan jenayah kemanusiaan dalam bentuk pembunuhan menerusi kempen terhadap pengguna dan pengedar dadah, yang menurut kumpulan hak asasi sudah menyebabkan puluhan ribuan kematian.
Kini, beliau berada di pusat tahanan di The Hague, menunggu pengesahan pendengaran pertuduhan pada 23 September, di mana beliau akan berpeluang untuk membantah tuduhan terhadapnya.
Duterte dibawa ke dalam pesawat di Manila dan dibawa ke The Hague melalui Dubai, kelihatan hampir tidak sedar pada pendengaran awalnya dua hari kemudian.
Namun, Sara yang sudah bertemu bapanya itu pada Sabtu berkata, beliau kini dalam keadaan lebih baik dan bersyukur kerana doktor dan jururawat menjaganya dengan baik.
Sebelum ini, Sara mendedahkan bapanya mengadu tentang makanan Belanda yang dihidangkan di pusat tahanan tersebut.
“Dia dapat nasi. Itu yang kami minta, dan ia dimasak dengan sempurna, sesuai dengan selera orang Filipina,” kata Sara sambil menambah bapanya turut meminta pakaian peribadi dan bekalan cola diet.
Sara sebelum itu telah berucap di hadapan ribuan penyokong yang berkumpul di Malieveld, The Hague, pada Ahad.