THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tiba di The Hague, Netherlands, pada Rabu bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan dalam ‘perang dada’ yang dilancarkannya, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media Filipina.
Duterte diterbangkan ke The Hague dengan penerbangan kelmarin selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila sebaik tiba dari Hong Kong.
Pesawat itu singgah di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke The Hague.
Anak perempuannya yang juga Naib Presiden Filipina, Sara Duterte turut berlepas ke The Hague pada semalam bagi mengatur pasukan guaman untuk bapanya.
Duterte mungkin menghadapi hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup jika disabitkan kesalahan oleh ICC bagi tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung dengan perang dadahnya yang kontroversial, kata Malacanang pada Rabu.
“Namun, ini bergantung kepada pembelaan yang boleh diambil oleh bekas Presiden,” kata Setiausaha Rendah Pejabat Komunikasi Presiden dan Pegawai Akhbar Istana Claire Castro dalam satu taklimat media, menurut Agensi Berita Filipina (PNA).
Menurut laman sesawang ICC, mahkamah tidak mengenakan hukuman mati.
Namun, barisan hakim boleh menjatuhkan hukuman penjara hingga 30 tahun atau penjara seumur hidup dalam kes-kes luar biasa. Sabitan boleh dirayu, dan mahkamah juga boleh mengarahkan pampasan untuk mangsa.