GRENOBLE: Polis Perancis sedang menyiasat kejadian tembakan yang mengorbankan seorang bekas ketua mafia berusia 71 tahun di lebuhraya berhampiran Grenoble di tenggara negara itu.
Mangsa, Jean-Pierre Maldera, yang digelar sebagai ‘godfather’ mafia tempatan pada tahun 1980-an, dilaporkan dikejar sebelum ditembak di Lebuhraya A41 pada pagi Rabu.
Menurut media tempatan, suspek yang dipercayai terdiri daripada tiga hingga empat orang bersenjata melarikan diri dari lokasi kejadian, dan sebuah kereta Renault Megane yang digunakan mereka ditemui dalam keadaan terbakar di sebuah tempat letak kereta tidak lama kemudian.
Maldera dipercayai keluar dari kereta BMW yang dipandunya dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki merentasi lebuh raya sebelum dikejar dan ditembak mati oleh penyerang.
Sumber menyatakan penyerang menggunakan senjata gred tentera, dipercayai raifal jenis Kalashnikov, dalam serangan kejam itu.
Pembunuhan ini berlaku 10 tahun selepas kehilangan adik lelakinya, Robert Maldera, yang turut dikenali sebagai ketua mafia dan digelar ‘si gila’ oleh dunia mafia.
Robert dilaporkan hilang pada tahun 2015 selepas menghadiri satu pertemuan di pinggir bandar Grenoble, dan keretanya ditemui dua bulan kemudian di kawasan tempat letak kereta berhampiran.
Menurut laporan akhbar tempatan Le Dauphiné Libéré, Jean-Pierre merupakan tokoh penting dalam kumpulan mafia ‘Italo-Grenoblois’ pada era 1980-an dan 1990-an bersama adiknya.
Kedua-dua mereka disabitkan bersalah bagi pelbagai kesalahan jenayah terancang pada tahun 2004, tetapi dibebaskan setahun kemudian akibat kesilapan pentadbiran bagaimanapun, ini bukan kali pertama Maldera berdepan hukuman, kerana rekod jenayahnya telah bermula sejak tahun 1970-an, menurut laporan France 3.
Selepas dibebaskan dari penjara pada awal tahun 2000-an, Maldera dikatakan memilih menjalani kehidupan yang lebih tenang dan pihak berkuasa tidak lagi mendengar namanya sehingga insiden tembakan itu berlaku.