BEIJING: China mengumumkan langkah-langkah untuk mempermudah proses pendaftaran perkahwinan dan mengurangkan beban kewangan pasangan sebagai inisiatif terbaharu Beijing bagi meningkatkan kadar kelahiran di negara ini.
Antara langkah yang diperkenalkan adalah seperti insentif tunai dan jaminan untuk membina lebih banyak infrastruktur penjagaan kanak-kanak.
Langkah terbaharu ini membolehkan pasangan mendaftar perkahwinan di tempat mereka tinggal, menurut laporan penyiar negara CCTV merujuk kepada dokumen kerajaan pada Sabtu.
“Reformasi ini bertujuan memenuhi keperluan individu yang tinggal atau bekerja jauh dari kampung halaman mereka, terutamanya generasi muda,” lapor agensi berita Xinhua.
Sehingga kini, banyak pasangan terpaksa melakukan perjalanan ke tempat asal pengantin perempuan atau lelaki yang didaftarkan dalam rekod sivil, sekali gusmenimbulkan beban perjalanan dan kewangan.
Ketika China menghadapi prospek ekonomi yang tidak menentu, negara itu menyaksikan penurunan perkahwinan sebanyak satu per lima tahun lalu dan mengalami tahun ketiga penurunan populasi keseluruhan.
Menurut laporan CCTV, sebagai langkah lanjutan untuk menangani isu ini, Kementerian Hal Ehwal Awam akan mempromosikan ‘perjuangan menentang adat berbahaya seperti hantaran kahwin yang tinggi’ dan perbelanjaan yang membazir.
Hantaran biasanya merujuk kepada wang tunai yang diberikan oleh keluarga pengantin lelaki kepada bakal isterinya yang merupakan tanda hormat kepada keluarga mentua dan sumbangan kepada kehidupan pasangan muda.
Namun, kosnya kadangkala terlalu tinggi dan menimbulkan tekanan kewangan kepada keluarga pengantin lelaki, serta meningkatkan ketidaksamaan sosial.
Antara banyak sebab mengapa generasi muda China teragak-agak untuk berkahwin dan mempunyai anak adalah kekurangan simpanan untuk membeli rumah, langkah yang biasanya diambil sebelum perkahwinan.
Yuran pendidikan juga merupakan faktor utama, sama ada kos penjagaan harian atau tuisyen swasta yang dianggap hampir penting untuk kejayaan akademik anak.