SYDNEY: Banjir yang melanda timur negara ini akibat ribut tropika yang melanda menyaksikan sekurang-kurangnya seorang maut dan 13 anggota tentera cedera dalam kemalangan ketika berkonvoi.
Mayat penduduk yang terkorban itu ditemukan ketika usaha mencari seorang lelaki berusia 61 tahun yang dilaporkan hilang pada Jumaat selepas keretanya terperangkap dalam banjir di Dorrigo, utara New South Wales (NSW).
Warga emas itu dapat keluar dari keretanya dan memanjat pokok berhampiran tebing sungai, namun pasukan penyelamat tidak dapat menyelamatkannya sebelum hanyut .
Ribut Alfred yang sudah diturunkan status kepada tekanan tropika rendah melanda berhampiran ibu kota Queensland, Brisbane, pada petang Sabtu dan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya kekal rumah berikutan ancaman ribut itu belum berakhir.
Angin kencang menyebabkan banyak pokok tumbang, selain menyebabkan bekalan elektrik terputus dan beberapa jalan ditenggelami air.
Dalam kejadian berasingan pada hari sama, 13 anggota tentera cedera dalam kemalangan konvoi di Lismore, kira-kira 200 km selatan Brisbane, menurut Menteri Pertahanan Persekutuan, Matt Keogh.
Sebuah trak terbalik semasa memandu di jalan yang sempit, dan sebuah trak kedua kemudian melanggarnya.
Perkhidmatan ambulans negeri itu sebelum ini melaporkan bahawa mereka merawat 36 orang yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Keogh menjelaskan kepada media bahawa walaupun kira-kira 36 orang terlibat hanya 13 yang cedera.
Mereka adalah sebahagian daripada pasukan tentera yang ditugaskan ke Lismore, berhampiran sempadan Queensland untuk membantu operasi menyelamat dan tindak balas bencana.