LONDON: Lebih lima juta kediaman di seluruh United Kingdom (UK) berisiko dilanda banjir, namun penyelidik memberi amaran kesan bencana itu bukan hanya membabitkan kerugian harta benda, malah boleh meningkatkan risiko penyakit Alzheimer.
Kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications Medicine mendedahkan individu yang rumahnya pernah ditenggelami banjir mempunyai 65 peratus risiko lebih tinggi untuk menghidap demensia dalam tempoh 12 bulan selepas kejadian.
Kajian yang melibatkan sekumpulan penyelidik, termasuk dari Universiti Edinburgh, itu meneliti rekod kesihatan hampir 500,000 individu berusia antara 37 hingga 73 tahun di UK sepanjang tempoh 20 tahun.
Hasil kajian mendapati mereka yang mengalami banjir berisiko 44 peratus lebih tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer serta 65 peratus lebih cenderung didiagnos dengan demensia vaskular.
Menurut penyelidik, kesan psikologi akibat banjir seperti tekanan perasaan, kemurungan serta gangguan stres pascatrauma (PTSD) boleh mempercepatkan kemerosotan mental seseorang.
Sehubungan itu, penyelidik menggesa kerajaan dan pihak berkuasa memperkukuhkan strategi kesihatan awam bagi melindungi penduduk di kawasan berisiko tinggi banjir.