JAWA TENGAH: Dua naskhah al-Quran yang ditemukan masih sempurna dalam kebakaran bangunan Bank Jateng di Klaten, Jawa Tengah, Indonesia semalam tular dalam media sosial.
Kedua-dua naskhah al-Quran ditempatkan di surau aras dua bangunan bank itu berada dalam keadaan baik meskipun bilik berkenaan terbakar disyaki berpunca daripada litar pintas elektrik.
Maklumat tersebut disahkan pegawai dari Jabatan Bomba Klaten, Satria.
“Al-Quran itu ditemukan berhampiran tingkap surau. Seluruh kawasan surau musnah tetapi al-Quran di tepi tingkap masih sempurna,” kata Satria.
Kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya bangunan bank tersebut namun, tiada sebarang korban jiwa dilaporkan. Kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan sebanyak 1.9 bilion rupiah (RM516,300).
Ketua Jabatan Bomba Klaten, Sumino berkata kebakaran itu dilaporkan pada pukul 12.35 tengahari waktu tempatan yang disedari oleh penduduk apabila melihat kepulan asap dari belakang bangunan.
“Mereka cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api mudah alih tetapi tidak berjaya kerana api terlalu marak sebelum melaporkan kejadian itu kepada bomba,” kata Sumino.
Tambahnya, sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, aras dua bangunan sudah dijilat api sepenuhnya selain bumbung bangunan sudah runtuh sebelum dapat dikawal kira-kir adua jam kemudian.
Kejadian itu menarik perhatian ramai pihak kerana bukan sahaja melibatkan kerugian yang besar tetapi juga keajaiban dua naskhah al-Quran yang masih sempurna.